Al-Sultan Abdullah ketika berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Masjid Alor Akar di Kuantan pada semalam

KUANTAN – Setelah  lebih 124 tahun berlalu, pengantin perempuan di Pahang bakal menerima mas kahwin dengan kadar baharu.

Kini kadar mas kahwin di Pahang ditetapkan kepada RM100 berbanding RM22.50 seperti dititahkan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  semalam.

Menurut baginda penetapan kadar mas kahwin itu berdasarkan Seksyen 21 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005.

Difahamkan kadar mas kahwin sedia ada sudah diamalkan bermula sejak tahun 1900 lagi justeru tentu terdapat perbezaan nilai dan faedahnya yang ketara berbanding masa sekarang, titah baginda.

“Saya memperkenankan pindaan kadar mas kahwin di Negeri Pahang dengan kadar RM100. Bagaimanapun penentuan kadar maksimum mas kahwin tertakluk kepada kemampuan dan persetujuan kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Insya-Allah, kerajaan pun sudah lulus,” titah Al-Sultan Abdullah pada Khamis.

Sultan Pahang bertitah bahawa kadar baharu itu lebih munasabah dan sesuai dengan kadar ekonomi semasa.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Nuzul Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah serta Perasmian Masjid Alor Akar di Kuantan semalam. – MalaysiaGazette