Antara barangan yang dirampas dalam penangkapan dua orang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kecurian motosikal. Foto Ihsan: Polis

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua orang lelaki yang disyaki mencuri motosikal di sekitar Ampang kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menahan seorang pemandu lori berusia 38 tahun dan seorang penghantar surat berumur 42 tahun di Jalan Gombak Setia pada 21 Mac lepas.

“Pihak kami menerima aduan dari seorang lelaki Melayu berumur 60 tahun pada 17 Mac lalu apabila mendapati motosikal Honda EX5 miliknya yang diletakkan di Jalan Taman Keramat Permai hilang.

“Turut dirampas dalam tangkapan itu adalah pelbagai jenis peralatan, komponen, tiga enjin, dua rangka, sebuah motosikal dan pakaian yang digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah tetapi suspek pertama mempunyai rekod lampau jenayah dan suspek kedua tiada rekod lampau.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak modus operandi suspek menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diparkir di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, suspek pertama dituduh di Mahkamah Ampang pada dua hari lepas manakala suspek kedua dibebaskan.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun sekiranya disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette