Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan semula Gaza.

SHAH ALAM- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan semula Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, baginda bertitah, ia akan melibatkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf yang memerlukan dana berjumlah RM8.7 juta.

Projek berkenaan membabitkan pembinaan satu blok Apartment Darul Ehsan (RM3 juta), Masjid Darul Ehsah (RM4 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).

“Beta menyeru kepada rakyat dan semua pihak di Selangor untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan dan keperitan penduduk Gaza dengan memberi sumbangan agar kita dapat membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza” titah Sultan Sharafuddin.

Bagi menjayakan projek berkenaan, baginda berkenan menerima sumbangan daripada dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebanyak RM200,000 dan sumbangan peribadi Menteri Besar Selangor sebanyak RM50,000 untuk disalurkan ke tabung itu.

“Beta sudah menitahkan agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan ini dibuat dan diselaraskan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun Maybank Islamic Berhad (562106718620) agar pengurusan serta pengelolaan dana ini dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar,” titah Sultan Sharafuddin-MalaysiaGazette