KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China Liu Jianchao di Perdana Putra, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu mereka membincangkan kunjungan rasmi Premier Li Qiang sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan persahabatan Malaysia-China pada tahun ini.
Katanya, mereka juga mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama ekonomi terutama pelaburan dari China, mempertingkat kesalinghubungan selain terus menjalin usaha sama dalam lapangan pendidikan dan sektor belia.
“Liu dan saya juga bersependapat untuk mengeratkan hubungan intra-parti dan berkongsi pendirian yang jitu dan kukuh terutamanya dalam konflik kemanusiaan melibatkan Palestin.
“Hubungan Malaysia dan China pasti akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara sahabat,” katanya. – MalaysiaGazette