KUALA LUMPUR – Seorang guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap seorang murid lelaki telahdigantung tugas.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan dari ibu pejabat agensi itu bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
“Saya sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dengan segera terhadap perkara ini.
“Pasukan dari Ibu Pejabat Mara sudah ditubuhkan dan akan pergi ke MRSM Tumpat dan pada masa sama, guru terbabit sudah digantung tugas sehingga siasatan selesai,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X.
Asyraf berkata demikian mengulas mengenai dakwaan tular seorang pengguna platform X yang memaklumkan beliau menerima laporan daripada seorang pelajar MRSM berkenaan.
Pengguna terbabit yang juga bekas pelajar MRSM sama mendakwa, individu berkenaan memaklumkan dia diganggu gurunya.
Menerusi perkongsiannya, pengguna itu turut mendakwa pernah menerima amaran daripada pelajar senior berhubung aktiviti tidak bermoral dilakukan guru terbabit.
Dalam dakwaan itu, pengguna berkenaan mempersoalkan bagaimana guru berkenaan boleh dibiarkan terus mengajar di situ walaupun pernah ‘kantoi’ beberapa kali.
Pengguna itu juga berharap pelajar yang pernah menjadi mangsa guru terlibat tampil. – MalaysiaGazette