KUALA LUMPUR – Hospital Cyberjaya telah membuat permohonan maaf kepada pesakit yang mengalami pendarahan setelah prosedur pembukaan tiub air kencing pada 28 Mac lalu.
“Pasukan perubatan terdiri daripada doktor dan jururawat telah bertemu pesakit bersama keluarga untuk memberi penerangan dan membuat permohonan maaf di atas pengalaman pesakit yang tidak menyenangkan,” kata pengarahnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu selepas seorang pesakit yang memuatnaik gambar pendarahan itu mendakwa petugas hospital merentap tiub kencing daripada saluran kemaluannya tanpa peduli kesakitannya.
Akibatnya, ia luka dan berlaku pendarahan.
Pengarah Hospital Cyberjaya yang mengulas kejadian itu berkata, pesakit itu dimasukkan ke hospital pada 27 Mac lalu kerana demam denggi dan ditempatkan di unit rawatan rapi selama sehari.
Bagi memantau tahap hidrasi, pesakit berkenaan dipasangkan tiub kencing.
Selepas dia stabil, pesakit dipindahkan ke wad biasa pada 28 Mac lalu dan pembukaan tiub kencing dilakukan.
Katanya, sewaktu prosedur itu dilakukan, jururawat maklum terdapat kesukaran dan memanggil pegawai perubatan.
Pegawai perubatan berjaya mengeluarkan tiub tersebut tanpa sebarang pendarahan.
“Namun, selepas sejam pesakit telah ke tandas dan memaklumkan berlaku pendarahan.
“Doktor daripada Jabatan Pembedahan terus dipanggil bagi mengevaluasi kejadian tersebut dan memutuskan pemantauan dilakukan,” ujarnya.
Menurutnya, pesakit kekal stabil dan ujian darah tidak mendapati sebarang kehilangan darah.
Kadar platelet pesakit juga stabil.
Pesakit ini akan dipantau sebelum dibenarkan pulang pada hujung minggu. – MalaysiaGazette