Kon Yeow menghadiri Program Masak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Kerajaan negeri Pulau Pinang memberi jaminan bekalan air untuk seluruh pengguna negeri itu mencukupi termasuk menampung keperluan ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, meskipun Empangan Air Itam berada di paras bawah kritikal iaitu 34.1 peratus ketika ini namun ia tidak menjejaskan keperluan pengguna.

Jelas beliau, Pulau Pinang mempunyai Empangan Mengkuang yang berfungsi sebagai empangan strategik bagi menjamin bekalan air di negeri itu tidak terjejas.

Kon Yeow.

“Takungan air di Empangan Mengkuang ketika ini berada pada paras 90 peratus kerana ia tidak digunakan untuk rawatan harian melainkan berlaku krisis air iaitu air mentah Sungai Muda terjejas baru kita lepaskan air (Mengkuang) ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“Kita juga mempunyai Empangan Teluk Bahang dan Empang Bukit Panchor, selain memantau paras air Sungai Muda untuk memastikan kapasiti bekalan air sentiasa mencukupi.

“Apa yang saya nak tegaskan di sini bekalan air di Pulau Pinang terkawal, pengguna tak perlu bimbang (situasi catuan air) kerana kita masih boleh tampung termasuk ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku sesuatu kecemasan di luar jangkaan (paip pecah), bencana atau banjir di Baling, Kedah (sebabkan air keruh) itu kita tidak boleh mengelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Masak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang di sini, hari ini.

Kon Yeow menghadiri Program Masak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang di Tasek Gelugor hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd Shariff dan Penyelaras Kadun Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman.

Mengulas lanjut Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bagi memastikan paras air di Empangan Air Itam tidak capai negatif, PBAPP mengambil tindakan kurang pengekstrakan air mentah berbanding kapasiti biasa.

“Air dari empangan itu (Air Itam) selalunya digunakan untuk 10,000 pengguna namun ketika ini kita hanya salurkan kepada 5,000 akaun manakala selebihnya kita ekstrak air mentah dari LRA Sungai Dua,” katanya.

Khamis lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan empat empangan menunjukkan penurunan paras simpanan sumber air mentah pada paras kritikal, iaitu Empangan Sembrong Barat di Johor dengan paras 31.65 peratus, Empangan Air Itam (35 peratus), serta Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) dan Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah. – MalaysiaGazette