KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan salah laku dan pelanggran integriti termasuk jenayah rasuah.

Sehubungan itu, JKDM akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan 34 orang kakitangannya, semalam.

“Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil daripada keputusan siasatan SPRM kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

JKDM juga memaklumkan bahawa pihaknya telah telah dan sedang mengambil langkah – langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu -pintu sempadan membabitkan pegawai dan anggotanya.

Kata jabatan itu lagi antara langkah yang diambil adalah menambahbaik prosedur import dan eksport di pintu masuk negara terutamanya berkaitan kawalan manifest /airway bill dan pengikaran bagi memastikan pematuhan dan tata kelola baik dilaksanakan serta mewujudkan elemen semak dan imbang (check and balance).

“Kita juga memperkasakan pelaksanaan proses saringan integriti terhadap pegawai – pegawai JKDM yang akan di tempatkan di bahagian yang berisiko tinggi melibatkan perkastaman termasuk import/eksport.

“Pada masa yang sama kita juga mengambil langkah menggiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan selain akan meneliti semula amalan, prosedur dan tatacara keja bagi menutup ruang dan peluang rasuah dan mendapatkan pandangan dan syor oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bagi penambahbaikan yang sewajarnya,” ujarnya.

JKDM memberi jaminan pihaknya akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak
SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM pada masa ini dalam memartabatkan nama baik jabatan pada pandangan masyarakat.-MalaysiaGazette