MELAKA – Mayat wanita tanpa identiti yang ditemukan terdampar pesisir pantai di Taman Padang Temu Indah di sini petang semalam disahkan mati akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat warga emas berusia 69 tahun berbangsa Cina itu dijumpai seorang penduduk kira-kira pukul 2 petang ketika pulang dari solat Jumaat di kawasan berhampiran.
Menurutnya siasatan polis mendapati, terdapat kesan kecederaan ringan di bahagian kepala dan pipi mangsa yang lengkap berpakaian sukan dan kasut namun tiada sebarang pengenalan identiti kecuali wang kertas berjumlah RM45 serta buku kecil kegunaan agama Buddha.
“Tiada sebarang kesan pergelutan pada bahagian tangan dan badan mangsa dan hasil keputusan bedah siasat di Hospital Melaka malam tadi mendapati mangsa warganegara Malaysia berbangsa Cina mati akibat lemas.
“Susulan itu, pada 11.08 malam tadi polis telah menerima panggilan telefon dari Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan memaklumkan seorang lelaki hadir memaklumkan si mati adalah isterinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya hasil soal tanya, lelaki berkenaan telah memberikan gambaran jelas berkaitan si mati termasuk menghantar melalui WhatsApp identiti wanita yang dikatakan isterinya itu.
“Lelaki itu mendakwa si mati pernah menjalani pembedahan kanser payu dara dan kali terakhir pasangan itu yang mempunyai enam anak bertemu adalah sekitar 7 pagi semalam.
“Si mati ada meninggalkan nota ringkas memberitahu dia mahu ke Kedah atau Pahang bersama kawan-kawan untuk berjalan namun tidak membawa apa-apa barang atau beg,” katanya.
Tambahnya, lelaki itu kemudian telah diminta hadir untuk membuat pengecaman ke atas mayat dan tuntutan untuk pengebumian. – MalaysiaGazette