BANGKOK – Seorang wanita Thailand berusia 46 tahun ditahan di Songkhla, selatan Thailand semalam kerana disyaki menyeludup masuk kaki ayam bernilai RM77,972 dari Malaysia.
Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) di bawah Biro Siasatan Pusat (CIB) Daerah Hat Yai diketuai Lt Kol Polis Anand Buakaew berkata, pasukan itu sebaik sahaja mendapat maklumat menyerbu sebuah pondok di Daerah Hat Yai yang dijadikan sebuah gudang sejuk beku untuk menyimpan karkas haiwan, terutamanya ayam itik yang diseludup dari Malaysia.
“Semasa operasi pasukan itu memberkas wanita terlibat yang juga merupakan penjaga gudang itu dan menemukan 5,664 kilogram (kg) kaki ayam, 565 kg kaki ayam dibuang tulang menjadikan jumlah keseluruhannya 6,229 kg bernilai hampir 600,000 baht,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai dokumen untuk menunjukkan sumber negara asal anggota ayam itu, selain daripada permit untuk membawa masuk karkas haiwan ke negara ini dan permit untuk membawa haiwan atau karkas keluar atau masuk dalam satu-satu zon ditetapkan.
“Kesemua item dirampas dan dihantar ke pegawai penyiasat di Balai Polis Hat Yai untuk proses perundangan seterusnya,” katanya. – BERNAMA