Nik Nazmi bergambar bersama 150 golongan profesional termasuk pemimpin komuniti setempat dan usahawan Kelantan pada Forum Profesional Anak Kelantan (FPAK) 2024, yang diadakan semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 150 golongan profesional termasuk pemimpin komuniti setempat dan usahawan Kelantan menghadiri Forum Profesional Anak Kelantan (FPAK) 2024 yang diadakan semalam.

Program anjuran Persatuan Wira Perpaduan itu merupakan platform bagi membuka jalan dan peluang perniagaan yang luas selain, berkongsi ilmu dalam kalangan peserta, kata Penasihat NGO Wira Perpaduan, Shahir Adnan.

Beliau berkata, forum yang diadakan itu merupakan satu kejayaan dalam mengumpulkan golongan profesional dan korporat Kelantan yang memiliki pelbagai latar belakang dan ilmu.

“Forum ini berjaya memberi ruang untuk membincangkan mekanisme menyuarakan pandangan serta terlibat dalam menentukan arah hala tuju negara dari segi ekonomi, sosiabudaya, politik , pendidikan sekaligus membentuk
perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, FPAK merupakan hasil inspirasi anak-anak Kelantan untuk melaksanakan program serta aktiviti melalui kerjasama antara beberapa pertubuhan dengan berkongsi matlamat dan aspirasi serupa iaitu menghimpunkan tenaga, pemikiran dan kepakaran profesional dalam usaha membangunkan Kelantan.

Katanya, forum itu juga menyatukan golongan profesional dari pelbagai latar belakang ilmu dan budaya bagi sama-sama membincangkan akan peranan masing-masing untuk memimpin kepada perubahan.

Panelis yang terlibat sebagai tetamu jemputan terdiri daripada golongan profesional dan juga selebriti usahawan yang telah berjaya bagi menyemarakkan lagi sesi temubual forum berkenaan.

Ucaptama bagi program itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. – MalaysiaGazette