Kehadiran warga asing di Kampung Kangkar Tebrau tidak disenangi penduduk tempatan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur penempatan warga asing di Kampung Kangkar Tebrau, baru-baru ini.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan itu seramai 73 warga asing tidak mempunyai dokumen dan tinggal lebih masa di sini telah ditahan.

“Kita tahan 73 warga asing termasuk Rohingya, Nepal dan Bangladesh dalam permeriksaan yang dijalankan di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan mendapati majoriti pelarian etnik Rohingya yang berada di kawasan itu memiliki kad Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), hanya segelintir yang tidak mempunyai kad berkenaan dan telah ditahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan luahan penduduk Kampung Kangkar Tebrau yang rimas apabila kampung mereka kini didakwa dimonopoli etnik pelarian Rohingya sejak bertahun lalu.

Jelas penduduk, walaupun masalah itu telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Imigresen dan polis negeri itu namun ia tiada kesudahan.

Kehadiran kelompok besar etnik pelarian Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau ternyata menimbulkan kegusaran dan merimaskan lebih 200 keluarga penduduk asal kampung terbabit yang terletak di tengah bandar raya.

Mengulas operasi itu, Baharuddin berkata, kesemua 73 warga asing yang telah ditahan itu juga disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia, dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa.

Dalam pada itu jelasnya, JIM Johor telah mengenalpasti 19 lokasi hotspot yang menjadi tumpuan warga asing di negeri ini melibatkan kluster pekerjaan pembinaan, pembuatan dan pusat perniagaan.- MalaysiaGazette

Penduduk rimas Rohingya kuasai Kampung Kangkar Tebrau