SERDANG – Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Bomba dan Penyelamat Serdang memperluaskan pencarian dua beranak yang dikhuatiri lemas semasa sekeluarga menjala di sebuah sungai diperluaskan sehingga enam kilometer di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini hari ini.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, operasi sejak semalam itu disambung semula 8 pagi tadi dibantu dua Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedua-dua mangsa itu.
“Pada hari ini, pasukan penyelamat dibahagikan kepada tiga pasukan dan mereka akan membuat pencarian baki dua mangsa itu dalam radius enam kilometer.
“Pasukan pencarian ini dibantu unit K9 yang membabitkan dua ekor anjing pengesan (Lady dan Cross) dalam misi pencarian ini,” katanya hari ini.
Namun, usaha mencari wanita, 38, dan anak perempuannya,4, masih belum ditemui setakat jam 11.30 pagi ini.
Semalam Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan mengesahkan tiga beranak dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air semasa menjala ikan di sebuah sungai di Kota Perdana, Seri Kembangan di sini.
Katanya polis dan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu jam lebih kurang 4.35 petang Ahad daripada bapa mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.
Pihak bomba dimaklumkan tiga orang kanak-kanak (dua lelaki dan satu perempuan) dan seorang wanita dewasa telah lemas di sungai.
Bagaimanapun seorang kanak kanak berjaya ditemui dalam keadaan selamat sekitar pukul 5 petang oleh orang awam manakala seorang lagi meninggal dunia.-MalaysiaGazette