SERI KEMBANGAN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita dan anak perempuannya masing-masing 38 dan empat tahun di sungai berhampiran Jalan KP 4/9 Kota Perdana di sini disambung semula, 8 pagi ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan proses SAR jam 12.30 tengah malam tadi.
Terdahulu, seorang maut manakala dua lagi dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika menjala di sebatang sungai di Kota Perdana, di sini, semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, PBK II Norazuan Zulghoni berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 4.35 petang daripada seorang lelaki warga Indonesia yang juga ketua keluarga dikenali Ahmad Suriadi.
Mohd Diham Ahmad Suriadi, 10, meninggal dunia manakala isterinya, dikenali Juliana, 38, Riska Amelia, 4, hilang dan Mohd Alif, 9, selamat.
Kanak-kanak lelaki itu berjaya ditemui orang awam dalam keadaan selamat jam 5.18 petang.
Pada jam 7.01 malam pula, kanak-kanak berusia 10 tahun itu pula dijumpai oleh pasukan PPDA kira-kira 1 kilometer dari tempat disyaki jatuh dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, dua mangsa berkenaan merupakan antara lima beranak warga Indonesia yang terlibat dalam kejadian air pasang di kawasan Saliran Longkang Monsun.
Seorang maut manakala dua lagi dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan kepada air ketika menjala di sebatang sungai di Kota Perdana di sini, semalam. – MalaysiaGazette