Zafrul Sungai Kandis
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumum peletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.

“Namun sejauh mana hebat perencanaan pusat, namun di Selangor pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata, jika dia tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka beliau tidak harus memegang sesuatu jawatan.

Menurutnya, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografi yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.

“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sewaktu dipilih sebagai ahli MKT parti dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, beliau telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan parti itu di negeri berkenaan.

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan,” ulas Tengku Zafrul.

Tambah beliau, UMNO Selangor perlu merangka strategi ampuh dengan ketetapan yang sesuai mengikut realiti semasa.

“Keputusan pilihan raya negeri tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” kata beliau. – MalaysiaGazette