Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Had laju jalanĀ  persekutuan diturunkan sementara daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j bermula 8 hingga 14 April ini.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), pewartaan itu selaras dengan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Aidilfitri.

Katanya, pengurangan sementara had laju selama seminggu ini merupakan antara langkah-langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan di semasa musim perayaan.

“KKR juga telah memaklumkan kepada pihak konsesi Jalan Persekutuan untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April 2024 supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, bagi lebuh raya, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April ini.

Jelasnya, ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara (whole nation approach) untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutamanya di Jalan Persekutuan. – MalaysiaGazette