Gelagat orang ramai mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama keluarga sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas aktiviti merentas negeri dan daerah serta aktiviti ziarah hari raya tidak dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diseluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2021.

PENGALAMAN menempuh dan merasai suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan hanya berlegar-legar di dalam rumah sahaja pada tahun 2020 dan 2021 kerana pandemik Covid-19 pastinya kekal diingati sehingga kini. Sesuatu yang tidak pernah terfikir dan terduga pada hari yang sepatutnya sibuk ke hulu ke hilir untuk menziarahi ke rumah sanak saudara dan kenalan taulan, jadi perkara sebaliknya iaitu kita hanya ‘terkurung’ di rumah sendiri sahaja.

Masih penulis ingati, panggilan video berkumpulan bersama adik-beradik yang lain dengan orang tua di kampung di pagi hari raya menjadi medium pengubat rindu dan mengurangkan perasaan sedih beraya berjauhan. Itu jugalah yang dilakukan oleh semua orang pada Ketika itu kerana patuh pada arahan Kerajaan disamping menjaga kesihatan dan nyawa orang yang tersayang.

Apabila pandemik mula mereda dengan Kerajaan mengisytiharkan negara beralih ke fasa endemik bermula 1 April 2022, banyak kelegaan dan senyuman di wajah rakyat Malaysia khususnya umat Islam kerana merasakan peluang untuk kembali merayakan Aidilfitri seperti biasa.

Selepas pelbagai spekulasi tersebar akan berhari raya terkurung lagi, Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Ketika itu beberapa memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri.

Tegasnya, kerajaan amat memahami kesengsaraan yang ditempuhi rakyat sekiranya PKP dilaksanakan semula dengan alasan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara selain kesannya kepada para peniaga dan sektor ekonomi negara. Umat Islam membuat persiapan yang meriah untuk meraikan Aidilfitri kerana sudah dua tahun hanya membuat persiapan ala kadar.

Tetapi tahun 2022 pula mencipta memori baharu buat umat Islam di Malaysia apabila merasai pula pengalaman raya terkejut. Jika sebelum ini menanti dan menonton pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekadar buat-buat terkejut bila tarikh diumumkan, kali ini benar-benar terkejut satu negara kerana esoknya hari raya!

Dengan pengumuman raya terkejut tersebut, tiada lagi tempoh bertenang dan bersenang lenang seperti biasa, semuanya kalut menghias kediaman, menyiapkan hidangan dan kuih-muih raya di dapur. Malah pada waktu itu para peniaga kedai runcit terpaksa beroperasi sehingga lewat pagi selain penjual ayam dan daging yang pening kerana terputus bekalan akibat pembelian mengejut. Penulis sendiri perlu menunggu sehingga ke jam 2 pagi untuk membeli ayam untuk dibuat rendang, sesuatu yang tidak pernah di buat sebelum ini.

Tetapi itulah penangan raya mengejut pada 2022, umat Islam gigih sehingga ke awal pagi menyiapkan juadah hari raya dan lain-lain keperluan kerana semangat dan tradisi Aidilfitri perlu diteruskan. Meraikan hari raya dengan suasana terkurung semasa PKP atau raya terkejut, kedua-duanya memberi nikmat dan kenangan tersendiri pada kita. Jika dilihat pada kedua-dua situasi ini,sesuatu yang perlu dibanggakan bahawa masyarakat kita masih kuat dan teguh mengekalkan tradisi yang sinonim dengan kemeriahan menyambut 1 Syawal.

Di sebalik semangat dalam mengekalkan tradisi Aidilfitri, penulis ingin menekankan dalam keterujaan menanti kedatangan bulan Syawal, kita seharusnya tidak melupakan juga akan kehilangan Ramadan yang berlalu pergi. Menyambut Syawal harus disertai dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan selama sebulan di bulan Ramadhan. Aidilfitri tidak wajar hanya disinonimkan dengan kegembiraan namun harus bermuhasabah dalam diri, apakah makna keseronokan dan kegirangan hari keraian tersebut?

Allah menganugerahkan Ramadan sebagai medan tarbiyyah untuk mencari sebuah kemerdekaan dan seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah sebenar, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baru dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa. Selari dengan firmanNya dalam surah as-Syams ayat 9 yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (dari belenggu nafsu)”.

Oleh itu, Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang bakal dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik. Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala di bulan Ramadhan, maka begitulah juga di luar Ramadan. Kebajikan yang telah dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda. Nilai-nilai kasih sayang perlu terus dipupuk agar bercambah sebuah masyarakat yang prihatin dan tidak mementingkan diri.

Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran ini perlu diisi dengan cara Islam yang diredhai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti. Semoga Aidifitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada bulan imtihan yang telah kita lalui!

Mohd Zaini Othman merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi.