GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penjualan mercun dan bunga api yang kini dibenarkan kerajaan beracun, sekali gus mencemarkan alam sekitar.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, is susulan pertubuhan penyelamat hidupan liar memaklumkan bunyi letupan mercun, bunga api yang kuat dan mengejutkan, menyebabkan tekanan tinggi kepada burung serta haiwan lain sehingga ia cenderung meninggalkan anak-anaknya.

“Spesies yang berbeza terjejas mengikut perbezaan bunga api dan bahaya yang disebabkan kepada invertebrata dan vertebrata kecil oleh bahan itu belum disiasat dengan teliti seperti dialami haiwan peliharaan rumah dan haiwan lain lebih besar.

Mohideen.
Mohideen.

“Sebilangan besar haiwan kecil dan invertebrata dipengaruhi oleh bunyi letupan yang mana mercun dan letupan bunga api juga boleh menyebabkan ia tertekan dan membahayakan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, selain haiwan, pertunjukan bunga api boleh memberi kesan negatif kepada manusia terutama bayi ketika ibu sering bergelut bagi menidurkan si kecil yang dikejutkan dengan letupan kuat.

Katanya, adalah penting bagi mempertimbangkan bagaimana bunga api boleh menjejaskan kesihatan manusia serta kualiti udara.

“Sepertimana artikel yang diterbitkan oleh Persatuan Pernafasan Eropah (ERS), sulfur dan karbon adalah komponen semua piroteknik dan diperlukan bagi pembakarannya.

“Beberapa bahan ditambah kepada bunga api semasa pembuatannya seperti kalium perklorat, arsenik, mangan, natrium oksalat, aluminium, serbuk habuk besi dan barium nitrat yang berfungsi sebagai warna tambahan, pengoksida dan penstabil.

“Sulfur dioksida, karbon dioksida, karbon monoksida, bahan zarah, bersama-sama dengan pelbagai garam logam seperti kadmium, mangan, dan aluminium adalah antara bahan pencemar udara yang terhasil apabila bunga api dinyalakan.

“Konsensus dalam kalangan pakar menyifatkan bahawa pencemaran udara bandar yang disebabkan oleh bunga api, memberi kesan negatif yang ketara terhadap kualiti udara,”katanya.

Sehubungan itu, Mohideen menasihatkan orang ramai agar menimbang pilihan sebelum membelanjakan wang bagi kegunaan piroteknik (teknologi api) selain memahami kesan terhadap semua aspek termasuk ekonomi, kebajikan manusia.

“Daripada beli mercun, lebih baik guna wang itu untuk beli keperluan asas harian seperti makanan,” katanya. – MalaysiaGazette