Kemalangan antara van kilang dan treler yang berlaku awal pagi ini di Jalan Besar Tanjung Piandang, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar. Foto ihsan JBPM Perak

PARIT BUNTAR – Pemandu van pekerja maut manakala seorang penumpang cedera selepas kenderaan  dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Besar Tanjung Piandang, Kuala Kurau, di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.45 pagi.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau dan dibantu BBP Parit Buntar kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan sebuah van pekerja dan treler.

Pemandu van maut, penumpang cedera nahas dengan treler
Kemalangan antara van kilang dan treler yang berlaku awal pagi ini di Jalan Besar Tanjung Piandang, Kuala Kurau, dekat Parit Buntar. Foto ihsan JBPM Perak

“Terdapat dua mangsa tersepit iaitu pemandu van, seorang lelaki berusia 40-an yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seorang lagi ialah penumpang hadapan kenderaan sama, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa cedera diserahkan kepada pihak KKM manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Sani Nayan  bersama 14 anggota bomba itu tamat sekitar jam 8.07 pagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette