Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Polis memburu sekurang-kurangnya dua individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan penangkapan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol pada minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kini pihaknya berusaha mengesan lokasi sebenar keberadaan dan mereka dipercayai berada dalam negara.

“Dalam perkembangan terkini siasatan, jumlah suspek yang ditahan adalah masih lagi membabitkan lelaki Israel sebagai suspek utama dikenali Shalom Avitan, 38, dan pasangan suami isteri warga tempatan yang berusia 42 dan 40 tahun,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada sidang media Jumaat lalu, Razarudin mengumumkan penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peliru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, pada Rabu lepas.

Lelaki yang mempunyai pasport Israel memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu.

Tangkapan lelaki membawa kepada penahanan pasangan suami isteri tempatan, masing-masing berusia 40 dan 42 tahun, di bazar Ramadan di Kuala Selangor yang disyaki mengedarkan senjata itu kepada warga asing tersebut.

Sementara itu, Razarudin berkata, siasatan mendapati pasangan itu terlibat dalam pembelian senjata tersebut di Thailand dan mengedarkan kepada suspek.

“Kita dapati setiap pucuk pistol (keseluruhannya enam pucuk) dibeli oleh pasangan itu dengan harga lebih RM10,000 di Thailand kemudian mengedarkan kepada suspek Israel ini,” ujarnya

Tambah beliau, siasatan juga mendapati pasangan suami isteri itu tidak mengenali suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast