SEPANG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan sebanyak 64 peratus setakat Mac lalu bagi keseluruhan jajaran merangkumi empat negeri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya percaya projek berkenaan dapat beroperasi lebih awal berbanding jangkaan siap pada Disember 2026.
“Saya bangga dengan kemajuan kerja pemasangan landasan ECRL yang bermula 11 Disember lalu untuk fasa pertama dari Kuantan Port City menghala ke Dungun, Terengganu. Sukacita dimaklumkan kerja pemasangan sejauh 92 kilometer itu telah siap pada akhir Februari lalu iaitu sebulan lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pengangkutan bersama warga projek ECRL dan pihak berkepentingan di sini hari ini.
Anthony menambah, momentum cemerlang itu membuatkan projek terbabit akan melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi tidak lama lagi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargo.
“Banyak pencapaian yang terhasil, saya yakin ECRL ini akan disiapkan mengikut jadual dan beroperasi bermula Januari 2027 atau boleh lebih awal daripada itu. Jadi, bolehlah warga Pantai Timur balik beraya sambut Aidilfitri naik ECRL tiga tahun lagi,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu kemajuan kerja-kerja pengorekan Terowong Berkembar
Ia dijangka dapat mencapai penembusan pada suku kedua
Landasan ECRL sepanjang 665 kilometer yang melibatkan 20 stesen melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu sekali gus akan menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang hanya dalam tempoh empat jam sahaja. – MalaysiaGazette