Screenshot

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan umat Islam untuk sentiasa berwaspada terhadap konspirasi pihak yang ingin merosakkan imej agama serta Nabi Muhammad SAW di mata umum.

Ia susulan tular satu video yang dimuat naik di YouTube memaparkan kisah Nabi Muhammad serta penyusuan orang dewasa di luar konteks Islam.

Kata Wan Salim, seorang wanita menyusukan seorang lelaki yang telah cukup umur baligh dengan tujuan supaya berlaku hubungan nasab serta hukum pengharaman nikah antara ibu dan anak susuan.

“Berdasarkan hukum Islam, jika seorang perempuan menyusukan seorang kanak-kanak maka terjalin hubungan antara kedua mereka seperti ibu dan anak kandung.

Wan Salim.

“Bagaimanapun, perlu diketahui pandangan majoriti ulamak, penyusuan seorang wanita kepada lelaki yang telah melepasi usia kanak-kanak tidak memberi apa-apa kesan di sudut pengharaman perkahwinan sepertimana pengharaman melalui nasab,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Salim, ada antara ulamak juga yang menafikan kejadian Siti Aisyah menyusukan Salim, bekas hamba Abu Hanifah ketika Salim telah baligh atau meningkat remaja.

“Namun begitu, jika diandaikan peristiwa itu memang berlaku, maka menurut ulamak ia adalah satu kes khusus yang tidak harus digeneralisasikan.

“Selain itu, penyusuan tersebut tidak berlaku dengan menghisap payu dara secara langsung, tapi menerusi perahan ke dalam bijana (alat) dan Salim meminumnya seperti meminum air biasa.

“Malah ada yang mengatakan hukum keharusannya telah dimansukhkan. Lantaran itu kita dapati kejadian sedemikian tidak berlaku secara berleluasa dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Salim mengingatkan umat Islam terutama di Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan kisah seperti yang dimuat naik pihak tertentu di YouTube.

“Kita tidak tahu apakah niat dan tujuan pihak yang mengeluarkan filem atau lakonan tersebut namun penting bagi umat Islam untuk sentiasa berwaspada terhadap konspirasi pihak yang ingin merosakkan imej agama dan Nabi Muhammad di mata umum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast