SHAH ALAM – Lima penunggang motosikal ditahan kerana menunggang dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran Shah Alam dalam operasi yang dilakukan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pasukan operasi telah mengesan kelibat lima penunggang yang melakukan aksi ‘superman’ dan bersaing sesama sendiri di lebuhraya tersebut.
“Kesemua penunggang itu kemudian ditahan selepas mereka memberhentikan motosikal masing-masing di kawasan perumahan sekitar bandaraya Shah Alam.
“Kesemua yang ditangkap merupakan lima lelaki tempatan berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun dan pasukan polis turut berjaya menyita kesemua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC yang ditunggang kumpulan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Operasi yang dilaksanakan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bermula jam 11 malam semalam hingga 5 pagi tadi bertujuan mencegah aktiviti samseng jalanan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Mohd Azman, mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas manjamu selera di sebuah kedai yang terletak di Shah Alam.
“Malah, mereka mengaku melakukan aksi merbahaya ‘superman’ di SKVE atas alasan sekadar suka-suka,” ujarnya.
Tambah beliau, polis turut mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkn 22 saman terhadap kelima-lima penunggang motosikal itu atas pelbagai kesalahan.
Beliau berkata, antara kesalahan itu ialah nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tiada cermin sisi, tidak memiliki lesen memandu dan mengubah suai struktur motosikal.
Katanya, kesemua tangkapan bersama motosikal yang disita telah dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette