BAYAN LEPAS – Tindakan remaja lelaki berusia 15 tahun melaram motosikal curi sejak Januari lalu terbongkar selepas dia diberkas polis di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, remaja terbabit ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya berikutan perbuatan suspek dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi motosikal dilaporkan hilang.
“Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dengan tiga kes kecurian motosikal di Teluk Kumbar dan Bayan Lepas sejak 9 Januari lalu.
“Antara motosikal yang dicuri itu adalah jenis Yamaha Y15ZR dan Ego Avantis.
“Soal siasat lanjut, suspek mengaku curi motosikal tersebut untuk kegunaannya sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, remaja itu kini direman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette