KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta menerusi pelancarana Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big), hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 usahawan India yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, pendaftaran dibuka pada 15 April ini di semua cawangan TEKUN seluruh negara dan proses permohonanan mengambil masa tujuh hari bekerja.
“Inilah peluang terbaik untuk mereka memperkasakan diri dalam pelbagai sektor (kontra kecil, pertanian & perusahan asas tani, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan perniagaan online).
“Ia juga merupakan harapan Kerajaan Madani untuk membantu usahawan India memajukan dan menaiktaraf sosioekonomi perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) di Ibu Pejabat TEKUN, di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, pembiayaan ini terbuka kepada semua usahawan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan perniagaan masing-masing dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
“Usahawan-usahawan yang pernah menerima pembiayaan dari skim ini akan diberi keutamaan untuk mendapatkan pembiayaan yang lebih besar dan kemudahan lain yang disediakan oleh agensi di bawah KUSKOP melalui program Groom Big.
“Program ini membolehkan usahawan yang berdaftar dapat memperluaskan perniagaan ke tahap global. Usahawan SPUMI sedia ada yang telah mendaftar LHDN boleh memohon Skim SPUMI Goes Big yang menawarkan nilai pembiayaan dari RM50,000 sehingga RM100,000”, jelasnya.
Sehingga Mac lalu, seramai 28,808 usahawan India telah mendapat pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dengan nilai RM450.5 juta.
Sejak skim itu dilaksanakan pada 2008, TEKUN telah menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta bagi melaksanakan program tersebut.
Sementara itu, beliau mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George sebagai Lembaga Pengarah Tekun.
Sementara itu, ADUN Batu Uban, Kumaresan Aramugam pula dilantik sebagai Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). – MalaysiaGazette