Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto WAN NABIL NASIR, 03 APRIL 2024.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Baginda tiba di masjid itu bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kelihatan sama, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Baginda berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada seramai 489 asnaf dari daaerah Petaling dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM244,500.

Dalam majlis yang sama, Sultan Sharafuddin juga berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada dua buah syarikat iaitu Sime Darby Property Berhad berjumlah RM2 juta dan CelcomDigi Berhad dengan jumlah RM1.36 juta.

Seterusnya baginda menunaikan solat Maghrib, Isya’ dan Tarawih bersama rakyat. – MalaysiaGazette