KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di ibu pejabat SKMM hari ini.
Rakaman percakapan ini adalah susulan aduan yang diterima oleh SKMM berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.
Pegawai penyiasat telah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.
Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588]. Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000, atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
SKMM dalam kenyataan berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara setelah siap nanti. – MalaysiaGazette