JOHOR BAHRU – Depot Imigresen Pekan Nenas (DIPN) telah melaksanakan pemindahan ke atas 29 orang tahanan warganegara Bangladesh ke negara asalnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam kenyataan memberitahu, pembiayaan tiket bagi penghantaran pulang kesemua tahanan dibiayai sepenuhnya oleh pihak tahanan sendiri dan hasil bantuan daripada ahli keluarga tahanan masing- masing.
Pemindahan kali ini diketuai oleh seorang penyelia kanan dan turut melibatkan seramai enam pegawai berlainan pangkat bagi tujuan iringkawal sepanjang proses pemindahan.
Pemindahan juga mendapat kerjasama daripada Peronda Lebuh Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengiringi perjalanan pemindahan bermula dari DIPN sehingga ke KLIA.
Penghantaran pulang dilaksanakan setelah kesemua tahanan selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan termasuklah kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Program pemindahan tahanan merupakan aktiviti utama Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas yang dilakukan secara berterusan oleh JIM Johor dalam usaha untuk memastikan semua tahanan selesai menjalani hukuman segera dihantar pulang.- MalaysiaGazette
















