Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin bercakap pada media selepas Majlis Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mengisytiharkan Kadar Dividen 2023 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 04 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak dakwaan yang menyatakaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengalami krisis kewangan.

Menurut beliau, pihak luar memang percaya kepada cerita-cerita sensasi.

Sedangkan tuduhan itu dilemparkan kerana pihak berkenaan tidak menyemak dengan LTAT.

“Kita tidak mungkin umum dividen sebanyak ini (5%) sekiranya LTAT tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Atas sebab itulah kita kena berhati-hati dengan semua berita-berita yang ada,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan agihan dividen bagi tahun kewangan 2023.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, beliau berkata, Kementerian Pertahanan mempunyai komitmen memacu LTAT untuk menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan menjamin perlindungan sosial warga Angkatan Tentera Malaysia.

LTAT komited dalam mengamalkan pengurusan aliran tunai yang berhemat dan teliti bagi memenuhi obligasi pembayaran semula wang simpanan persaraan kepada pencarumnya.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan bersama-sama dengan LTAT akan memfokuskan kepada usaha melaksanakan strategi-strategi yang telah digariskan dalam Pelan MAMPAN25 serta meneroka strategi-strategi baharu, agar LTAT lebih cemerlang.

Ini termasuklah rancangan menyusun semula model perniagaan dan pegangan saham dalam syarikat-syarikat strategik.

“Sasaran kita hanya satu. Kita mahu mengoptimumkan prestasi LTAT dengan model perniagaan terbaik tanpa melepaskan kepentingan strategik dalam pelbagai entiti yang berpotensi besar.

“Segala pelan dan strategi kita akan dilakukan secara cermat, inklusif dan mengambil kira pandangan serta idea pelbagai pemegang taruh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast