Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk memberi keterangan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jasmine Loo, 50, juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Tania Scivetti bahawa beliau bersedia untuk memberi keterangan yang memihak kepada pendakwaan supaya kes terhadapnya tidak diteruskan.

Pada 2018, Loo telah didakwa secara in absentia atau tanpa kehadiran mengikut Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 iaitu bersubahat menyalahgunakan US$2.7 bilion daripada tiga bon 1MDB yang dijamin oleh Goldman Sachs.

Scivetti: Pertuduhan terhadap anda tidak diteruskan kerana anda bersetuju untuk memberikan keterangan terhadap Najib yang memihak kepada pendakwaan?

Loo: Saya tidak bersetuju. Semasa pertuduhan itu difailkan terhadap saya, saya tidak dipanggil oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjawab. Kenyataan saya tidak direkodkan.

“Bagaimanapun, sejak saya kembali ke Malaysia saya telah memberi respons kepada pelbagai pihak berkuasa berhubung pertuduhan, ini termasuklah SC,” katanya.

Scivetti: Terdapat penarikan balik secara rasmi bagi pertuduhan tersebut? Loo: Tidak, saya tidak bermaksud begitu.

Pada 2018, Loo telah didakwa melakukan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah US$5.99 juta hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke akaun River Dee International SA (BVI) melalui Falcon Private Bank AG di Zurich.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Loo berada dalam pelarian dari 2018 hinggalah beliau kembali ke Malaysia pada Julai 2023 dan telah ditahan serta disoal siasat oleh polis sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau (sebagai Perdana Menteri) untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama