WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah meluluskan pemindahan beribu-ribu bom tambahan kepada Israel awal minggu ini.
Seorang pegawai pentadbiran Joe Biden, mengesahkan laporan awal oleh Washington Post kepada Agensi Anadolu mengenai bantuan bom tambahan terbabit.
Menurutnya, Jabatan Negara AS meluluskan pemindahan lebih daripada 1,000 bom diameter kecil dan lebih daripada 1,000 bom MK82 500 paun, serta fius untuk bom MK80 ke Israel.
“Pemindahan itu telah diluluskan sebelum serangan ke atas WCK (World Central Kitchen),” kata pegawai itu.
The Washington Post melaporkan pemindahan itu diluluskan pada hari serangan Israel di Gaza membunuh tujuh pekerja bantuan dari World Central Kitchen.
Pekerja yang terbunuh dalam serangan pada Isnin adalah warga Australia, Poland, UK, Palestin serta dua warganegara AS-Kanada.
AS berdepan kritikan antarabangsa kerana terus memberikan bantuan ketenteraan kepada Israel di tengah-tengah laporan Tel Aviv menyasarkan orang awam – dengan hampir 33,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh di Gaza.- Agensi