Kira-kira 500 orang yang terdiri daripada Sekretariat Solidariti Palestin berarak dar Bangunan Tabung haji ke kedutaan AS dalam Himpunan Al-Quds di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Lebih 500 orang daripada beberapa gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bersama Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berhimpun menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus diserang dan dibunuh tentera Zionis Israel pada bulan Ramadan.

Presiden  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang kesal kerana kerana menerima layanan buruk kedutaan Amerika Syarikat (AS) ketika  menyerahkan memorandum semalam berkata, pihaknya tidak berputus asa dan terus berhimpun menyatakan solidariti kepada penduduk Palestin.

“Mereka hanya menerima memorandum bantahan kami tentang kekejaman Israel di Palestin itu di kawasan luar berhampiran pondok keselamatan dan ia telah disaksikan sendiri oleh pegawai keselamatan itu.

“Namun, kami tidak berputus asa dengan layanan buruk itu, sebaliknya berhimpun hari ini untuk lantang mengkritik dan menyatakan bahawa AS adalah pendorong kepada Israel, menjadikan Israel sebagai pembunuh yang tidak dapat dikawal,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada Himpunan Al-Qudsdi hadapan kedutaan AS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamed Sabu dan bekas Naib Presiden PKR, Thian Chua.

Menurut Mohd Azmi, dalam memorandum itu pihaknya mengemukakan 18 tuntutan, antaranya meminta AS berhenti membekalkan senjata kepada Israel dan melaksanakan gencatan senjata, seperti yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Tetapi, tanpa menghormati keputusan ICJ dan PBB itu, AS telah menghantar senjata yang lebih banyak kepada Israel untuk membantu membedil Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 33,000 orang tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

“Malah, AS juga menjadi hipokrat terbesar ketika ini dan kita semua perlu bersiap sedia melakukan tindakan ke atas AS menerusi pelancaran tindakan boikot.

“Kami menyeru Malaysia dan negara-negara serantau yang menyokong keamanan dan genocide di Gaza agar menggandakan langkah pemecatan keanggotaan Israel dan seterusnya mengiktiraf Palestin sebagai negara bebas dan berdaulat, itulah tuntutan utama kami setiap hari,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pada sambutan Hari Al-Quds Antarabangsa hari ini, semua pihak bukan sekadar menyaksikan ia sebagai sambutan biasa kerana keadaan semasa di Palestin khususnya di Gaza sangat teruk dengan 30,000 orang terbunuh tentera rejim Zionis.

“Di sini kami menggesa semua bangsa tidak kira agama dan fahaman agar bangkit segera menentang kezaliman Israel di bumi Gaza demi mengembalikan semula kehidupan terbaik untuk rakyat Palestin di sana,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad mendesak Majlis Keselamatan PBB dibubarkan kerana mendakwa majlis itu dilihat tidak mempunyai fungsi.

Katanya, ini kerana Israel tidak mengendahkan arahan gencatan senjata terhadap Palestin yang dikeluarkannya.

“Ingat isu Palestin isu kemanusiaan dan tidak kira agama atau kaum. Kalau Israel tak dihukum, PBB tidak berguna dan perlu bubar sahaja (Majlis Keselamatan),” katanya ketika berucap.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, seramai 200 anggota dan pegawai telah ditugaskan di lapangan.

“Keadaan terkawal dan berjaya mengelak sebarang insiden tidak diingini dan trafik dapat dikawal tanpa kesesakan di lokasi himpunan hadapan Kedutaan AS,” katanya.

Menurut Mohammad Lazim, penganjur perhimpunan itu telah memaklumkan kepada polis menerusi notis pemakluman awal mengikut peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast