KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan penguatkuasaan Op Selamat 22 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 bermula 8 hingga 13 April ini di seluruh negara.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan sabar, berhemah dan bertanggungjawab sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.
Katanya, pengguna yang merancang pulang ke kampung ataupun bercuti dinasihati agar menanamkan sifat berkenaan ketika memandu kenderaan demi insan yang tersayang serta menjamin keselamatan mereka di jalan raya.
“Kebersamaan masyarakat dan PDRM amat ditagih dalam memastikan kempen Op Selamat 22 sempena perayaan Aidilfitri yang bermula 8 hingga 13 April ini mencapai sasarannya.
“Bersempena dengan sambutan hari lebaran yang bakal menjelang tiba, PDRM dengan penuh rasa bertanggungjawab dan memikul amanat dalam memastikan masyarakat dapat menikmati sambutan perayaan Aidilfitri dengan rasa selamat dan sejahtera.
“PDRM akan mengadakan kempen Op Selamat siri ke-22 dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dan melancarkan Op Selamat 22 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 secara maya dalam talian hari ini.
Dalam perkembangan sama, Razarudin berharap perayaan kali ini disambut dengan penuh bermakna. – MalaysiaGazette