Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa (tiga kiri) dan pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan sri Idrus Harun (tiga kanan) bergambar selepas majlis menandatangani perjanjian kolaborasi strategik antara Amanah Raya Berhad dan Syarikat Perumahan Negara Berhad di Pejabat Perdana Menteri Perdana Putra, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 05 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Mana-mana pemohon Rumah Mesra Rakyat Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) yang berjaya akan menerima produk tawaran Amanah Raya secara automatik.

Pengerusi Amanah Raya, Tan Sri Idrus Harun berkata, pihaknya berbangga dapat mengadakan kolaborasi bersama SPNB atas tanggungjawab sebagai pemegang amanah rakyat Malaysia lebih dari 100 tahun.

“Inisiatif ini akan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan perancangan pusaka dan Pengurusan Harta melalui instrumen Hibah dan Wasiat untuk memelihara harta pusaka bagi waris-waris dan penerima yang berhak.

“Ini dapat memastikan kebajikan waris-waris yang bakal ditinggalkan oleh pemilik rumah tersebut. Ia juga sejajar dengan kerangka Malaysia MADANI kerajaan kini,” katanya.

Tawaran itu diberikan selepas pemeteraian perjanjian kolaborasi strategik antara Amanah Raya Berhad dan Syarikat Perumahan Negara Berhad di Perdana Putra hari ini.

Hadir menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Idrus turut berkata, perjanjian ini bakal memanfaatkan rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.

Dalam pada itu, Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa juga menjelaskan melalui kerjasama ini akan memberikan nilai tambah kepada produk SPNB terutama Program Rumah Mesra Rakyat dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa akan datang dengan bayaran serendah RM1,000 sahaja.

“SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini. Sehingga hari ini, SPNB telah melaksanakan sebanyak 66,195 unit di seluruh negara,” kata Husam.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Zahanuddin Kamarudin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast