Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir (tiga dari kanan) bersama Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim dua dari kanan) dan dif-dif kehormat menunjukkan plakad dividen Simpan SSPN 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebanyak 3.60 peratus bagi tahun 2023.

Menurut PTPTN, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM357.65 juta yang akan memberi manfaat kepada 6.25 juta akaun.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.69 billion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pengumuman pengagihan dividen Simpan SSPN tahun 2023 telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang;K etua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; pengurusan tertinggi
KPT serta pengurusan PTPTN.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir (dua kari kanan) mengumumkan dividen Simpan SSPN 2023.

Menurut kenyataan itu, dividen tersebut akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai esok.

Katanya, pemberian dividen 3.60 peratus itu adalah lebih tinggi
berbanding agihan dividen sebanyak 3.05 peratus pada tahun 2022.

Tambahnya, ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan
pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan.

“Pemberian dividen yang lebih tinggi ini disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM446.22 juta.

“Prestasi pelaburan terus meningkat pada tahun 2024 berdasarkan pencapaian suku pertama tahun 2024 yang lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun 2023,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, peningkatan pemberian kadar dividen Simpan SSPN adalah bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) Bank Negara
Malaysia yang meningkat sebanyak 0.25 peratus pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, kadar dividen ini juga adalah kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan akaun simpanan dan simpanan tetap di bank tempatan di antara 2.05 peratus sehingga 3.45 peratus.

Justeru, jelasnya, kadar dividen ini merupakan kadar pulangan yang lebih menguntungkan dan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing dan relevan setanding produk-produk lain di pasaran.

Menurut kenyataan itu, pada tahun lalu, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM3.15 bilion dan sebanyak 513,002 akaun baharu direkodkan.

Manakala, keseluruhan deposit terkumpul Simpan SSPN yang diterima semenjak tahun 2004 sehingga 31 Disember 2023 adalah berjumlah RM17.39 bilion melibatkan 6.25 juta
akaun.

Katanya, prestasi yang memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan.

Jelasnya, Simpan SSPN merupakan produk terbaik untuk masyarakat Malaysia membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

Selain itu ia menawarkan kadar dividen yang kompetitif, pelbagai keistimewaan lain yang ditawarkan dan paling menarik, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun.

Selain itu, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah. – MalaysiaGazette