BACHOK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang merupakan mangsa pertama strok haba di Kelantan mengalami muntah-muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri semasa bermain di dalam kereta datuknya di Kampung Teluk di sini, Jumaat lepas.
Muhamad Abil Qaiz Faizal Fazrin dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok namun disahkan meninggal dunia Isnin lalu semasa menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Nenek kanak-kanak itu, Zainun Mat Amin, 54, berkata, ketika kejadian Muhamad Abil Qaiz sedang bermain dengan abang dan adik kembarnya di dalam kereta Proton Iswara milik datuk mereka di belakang rumah.
“Ketika itu abang dan adik kembarnya mahu pulang tetapi Muhamad Abil Qaiz masih ingin bermain di dalam kereta itu pada kira-kira jam 12 tengah hari.
“Kemungkinan mangsa terkurung di dalam kereta itu dan hanya ditemui dalam keadaan separuh sedar kira-kira dua jam selepas itu,” katanya kepada pemberita di Kampung Teluk, di sini hari ini.
“Saya dan suami Faizal Fazrin Rosidi, 33, reda dengan ketentuan tuhan dan menganggapnya sebagai ujian terbesar dalam hidup mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat strok haba pada jam 11.20 pagi, pada Isnin lepas ketika dirawat di HUSM Kubang Kerian.