Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Umat Islam di Pahang diminta lebih berwaspada daripada terjerat dengan mana-mana fahaman ajaran sesat yang boleh memesongkan akidah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya mereka perlu istiqamah meningkatkan ketakwaan dan keimanan dengan berpegang teguh akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menurutnya, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam di negeri itu agar menghindari apa juga bentuk ajaran salah atau sesat dengan berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

”Sebagai masyarakat yang mempunyai pendidikan agama, kita tidak boleh membiarkan diri terperangkap dalam jaringan ajaran sesat dengan perlu merujuk kepada ahli-ahli agama yang bertauliah dan berautoriti sekiranya terdapat sebarang kekeliruan serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

”Ini kerana kita bimbang, sekiranya ajaran sesat seperti fahaman Khawarij, Takfiri, Syiah dan apa jua ajaran sesat jika tidak dibendung ia boleh mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku selain membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat.

”Oleh yang demikian, rakyat di negeri ini diminta untuk berwaspada dan berpegang teguh pada kebenaran serta nilai-nilai benar dengan bersandarkan kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kita ikuti selama ini,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri dari semasa ke semasa akan sentiasa memantau sebarang bentuk ajaran yang mencurigakan agar ia dapat ditangani dengan sebaik-baiknya agar kesucian akidah umat Islam di negeri ini terus terpelihara.

”Semoga kita bersama-sama melindungi diri kita, keluarga, dan masyarakat daripada sebarang bentuk ancaman ajaran sesat,” katanya. – MalaysiaGazette