KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak merampas sebanyak 30 set bubu naga yang diletakkan di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika dari timur laut di perairan Pulau Talang, Perak, Khamis lalu.
Ia merupakan rampasan kali ke-21 tahun ini di kawasan pulau berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pihaknya mengesan bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkaikira-kira pukul 6.45 petang ketika melaksanakan Op Sayongm Op Pintas, Op Tanjung, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.
“Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda mengesahkan bendera berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang kayu adalah penanda kepada bubu naga ini dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000 itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan, jika disabitkan kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette