Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh tidak sepatutnya disiasat di bawah Section 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ia kerana kedua-dua akta tersebut bersifat kuku besi dan zalim yang sering disebut akta yang draconian.

Lantaran itu, beliau menawarkan diri untuk menjadi peguam bela Dr Akmal sekiranya Ketua Pemuda UMNO itu tetap dituduh di bawah akta tersebut.

Hassan berkata, beliau pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, oleh itu mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan tersebut.

“Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen Malaysia yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia merdeka ini, maka saya dengan suci hati dan ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal sudi dan bersetuju untuk menerima tawaran ikhlas saya sebagai salah seorang peguambela dalam pasukan guaman Dr Akmal jika sekiranya beliau pada akhirnya tetap akan dituduh di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, Dr Akmal sewajarnya disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan.

Pada pandangan Hassan, yang berkait dengan kesalahan Dr Akmal kerana mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh Dr Muhamad Akmal Saleh tetapi hak beliau untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stoking yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara.

Malah, tambahnya, Pakatan Harapan pernah berjanji di dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang zalim dan meminda Section 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terlalu luas, kabur dan terbuka untuk disalahgunakan.

Semalam, Dr Akmal memberi keterangan kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah sebelum dibebaskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, Dr Akmal disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Ketua Pemuda UMNO ini adalah pemimpin politik yang lantang berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.