KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,579 kes kes demam denggi dilaporkan pada 24 hingga 30 Mac 2024 berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya dengan tiga kematian.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan pada tahun ini sehingga tempoh tersebut (Minggu
Epidemiologi ke-13) adalah sebanyak 44,144 kes berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
Manakala terdapat 31 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 adalah sebanyak 135 lokaliti berbanding 141 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Dari 135 lokaliti yang dilaporkan, 114 lokaliti di Selangor, 10 lokaliti di Kuala Lumpur & Putrajaya, Pulau Pinang (5), Negeri Sembilan (4) dan dan Kedah (2)
Bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada Minggu
Epidemiologi ke-13 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 13 kes.
Sementara itu, bagi survelan zika, sebanyak 621 sampel darah dan satu sampel urin telah
dijalankan saringan dan kesemuanya negatif.
Dr Muhammad Radzi turut menasihatkan orang ramai menjaga kebersihan di kediaman masing-masing susulan fasa peralihan monsun bermula pada 29 Mac 2024 dijangka berterusan sehingga Mei 2024.
Sepanjang tempoh ini keadaan cuaca panas dan kering dijangka beransur-ansur pulih dan menyebabkan berlaku hujan.
“Keadaan ini menyebabkan takungan air boleh terjadi terutama di dalam bekas-bekas takungan buatan manusia di persekitaran dan mampu menarik nyamuk Aedes untuk membiak.
“Oleh itu, bagi memastikan persekitaran premis bebas daripada pembiakan nyamuk aedes, lakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan dengan melupus atau mengitar semula bekas-bekas berpotensi pembiakan Aedes di dalam dan luar rumah secara berjadual,” ujarnya. – MalaysiaGazette