BERTAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin Kerajaan Negeri Pulau Pinang mampu menoktahkan kemiskinan tegar menjelang 1 Jun depan.
Jelas beliau, usaha itu boleh dicapai dengan penglibatan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat dengan memastikan tiada individu yang keciciran daripada menerima bantuan yang diperlukan.
Bagaimanapun, tegas beliau, kewujudan golongan individu mahupun keluarga dalam kesusahan itu sebenarnya sukar dijangka.
“Semememangnya soal kewujudan orang dalam kesusahan ini realiti sebab kita tak boleh jangka, mungkin tahun lepas mereka berada dalam keadaan senang tetapi sebaliknya pula berlaku pada tahun ini.
“Ada antaranya diuji dengan kehilangan pekerjaan, kelewatan gaji dan ada juga ketua keluarga yang meninggal dunia menyebabkan keluarga hilang mata pencarian.
“Justeru, bantuan perlu diteruskan dan ia tidak akan terhenti kerana ini soal tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak sekali gus membantu memastikan sifar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 400 anak yatim dan asnaf menerusi Majlis Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Peringkat Kepala Batas di Kompleks Sukan MBSP di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dalam lawatan kerjanya ke negeri ini optimis Pulau Pinang bakal mencatatkan rekod sifar kemiskinan tegar pada Jun ini hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, menjadi keutamaan kerajaan untuk membasmi masalah miskin tegar dengan pelbagai langkah telah diambil membabitkan agensi kerajaan.
“Keutamaan juga diberikan bagi kategori keluarga di bawah miskin tegar dengan kerjasama kerajaan negeri dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan dalam tempoh sebulan akan dapat diselesaikan.
“Maknanya 1 Jun tahun ini Pulau Pinang akan catat sifar kemiskinan tegar. Itu satu yang amat membanggakan,” katanya