SEBERANG JAYA – “Sejak berusia sembilan tahun saya simpan hasrat untuk dapatkan tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada poster gelombang reformasi tahun 1999 dan hari ini semua itu tercapai”.
Demikian luah peniaga martabak klasik bazar Ramadan Pasar Awam Seberang Jaya, Muhammad Danial Mashhelmy.
Menurut Muhammad Danial, dia lebih teruja apabila berjaya mendapatkan tanda tangan ketua reformasi itu yang kini sudah bergelar perdana menteri.
“Poster ini adalah peninggalan arwah datuk saya (Mahamad Hashim) yang merupakan pengasas Keadilan Tasek Gelugor.
“Sebaik tahu beliau (Anwar) akan mengadakan walkabout di bazar (Seberang Jaya) saya nekad untuk memperoleh tanda tangan beliau pada poster tersebut.
“Alhamdulillah, penantian selama 16 tahun berbaloi kerana saya berjaya peroleh tandatangan itu ketika beliau memegang tampuk pemerintahan nombor satu kerajaan (perdana menteri) yang mana sejajar dengan tema poster iaitu ke arah Kerajaan Reformasi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.
Tambah Muhammad Danial, dia mempunyai tujuh helai poster keluaran tahun 1999 itu dan kesemua itu disimpan oleh ahli keluarganya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri program walkabout di Bazar Ramadan Pasar Awam Seberang Jaya.
Beliau menghabiskan masa kira-kira 20 minit beramah mesra dengan orang ramai dan menyantuni golongan peniaga.
Selain itu, laungan reformasi menjadi ‘penyambut’ ketika beliau melangkah masuk ke bazar Ramadan tersebut. – MalaysiaGazette