Jasmine Loo

KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan, 50, mengaku menerima wang sejumlah RM100 juta dari ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata, wang tersebut yang diterima pada 2014 adalah hadiah biar pun telah meletakkan jawatan dari 1MDB setahun sebelum itu.

Loo berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam Datuk Seri Najib Razak semasa pemeriksaan semula perbicaraan bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB pada Jumaat.

Ditanya mengapa Jho Low memberi RM100 juta kepada seseorang yang berperanan sebagai penasihat undang-undang 1MDB. Loo berkata, pada peringkat permulaan wang tersebut dipegang sebagai amanah di mana akhirnya beliau menjadi benefisiari (penerima manfaat).

Saksi pendakwa itu berkata, wang tersebut adalah untuk perjanjian pelaburan antara beliau dan Jho Low dalam syarikat milik ahli perniagaan yang sedang diburu itu.

Loo seterusnya memberitahu, beliau menyimpan wang sebanyak US$4.5 juta yang telah dimasukkan ke dalam akaunnya oleh Jho Low untuk pembelian hadiah berupa patung kepada Putera Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al-Saud.

Katanya, beliau telah menyimpan wang tersebut walaupun urusan pembelian hadiah tersebut tidak berjaya kerana Jho Low telah menukar fikiran.

Loo juga tidak bersetuju apabila Muhammad Shafee mencadangkan bahawa beliau menyimpan wang tersebut kerana ia merupakan bayaran untuk ‘kerja’ yang beliau telah lakukan dalam 1MDB.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya (sebagai perdana menteri) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 22 April.