Status FB Dr Akmal mengenai isu penggunaan seakan kalimah Allah di tapak kasut berjenama

MELAKA – Isu kedudukan kalimah Allah di tempat tidak sepatutnya terus mendapat perhatian Pemuda UMNO, kali ini dilihat seakan tulisan itu tertera di tapak kasut berjenama pula.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau mendapat tahu perkara itu pagi tadi, namun melihatnya dari sudut berbeza dengan isu sama pada stoking dijual KK Mart, 13 Mac lalu.

“Marah memang marah bila terdengar perkara sedemikian, tetapi saya menenangkan diri untuk melihat apakah situasi yang sebenarnya berlaku.

“Apabila saya lihat semula, saya mencari sebanyak mana maklumat mengenai logo di tapak kasut sedemikian dan saya terbaca satu posting memaklumkan ia adalah logo seperti sebuah kasut tumit tinggi dengan talinya sekali,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengaku turut melihat logo itu sama seperti dimaksudkan syarikat berkenaan

“Ada logiknya di situ tetapi apa sekali pun kita mendesak satu penjelasan yang segera dari pihak syarikat Vern’s mengenai isu ini.

“Kami orang Islam di Malaysia ini bukan jenis yang bertindak semberono tanpa usul periksa, kami berhusnuzon (bersangka baik) dahulu dan kami mahukan penjelasan dari pihak kamu.

“Jika tiada penjelasan dalam tempoh 24 jam, maka jangan salahkan kami jika boikot terhadap produk kamu pula selepas ini,” tulisnya lagi.

Beliau turut meminta umat Islam di negara ini kekal bertenang sehingga mendapat penjelasan syarikat itu. – MalaysiaGazette