KUALA LUMPUR – Berpura-pura mahu membeli telefon bimbit namun, akhirnya bertindak mencuri telefon.
Demikian taktik seorang penghantar barang yang mengambil kesempatan di atas kesibukan pekerja sebuah kedai telefon yang sedang melayan pelanggan.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, suspek berusia 40 tahun itu dicekup di sebuah pangsapuri di kawasan Sungai Chua, pukul 12.10 malam tadi.
Katanya, dalam kejadian 27 Mac lepas, suspek yang datang ke premis tempat mangsa bekerja berpura-pura menjadi pelanggan untuk membeli telefon bimbit jenis iPhone X bernilai RM900.
“Semasa kejadian, pekerja pengadu telah menyerahkan telefon bimbit kepada suspek kerana mempercayai suspek hendak membeli telefon.
“Apabila pekerja pengadu sibuk berurusan dengan pelanggan lain, suspek telah beredar dengan membawa telefon bimbit tanpa membuat apa-apa pembayaran.
“Pengadu telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Azam berkata, suspek yang mempunyai dua rekod lampau jenayah dan dua rekod lampau dadah didapati telah menjual telefon bimbit yang dicuri.
Ujarnya, suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 10 April.
Katanya, polis sedang mengesan pembeli bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan curi dalam bangunan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette