KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai supaya memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan Covid-19 kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, orang awam diingatkan melakukan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu diamalkan untuk hidup bersama Covid-19.
Antaranya, kerap mencuci tangan dengan pensanitasi; memakai pelitup muka terutamanya bagi yang berisiko tinggi mendapat jangkitan, atau individu yang bergejala, atau apabila berada di tempat tertutup atau sesak; dan terus mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek) sekiranya bergejala.
Menurut beliau, jumlah kes dan kematian Covid-19 di Malaysia turun dengan ketara dan sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dengan subvariannya dan tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti.
Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada ME 1/2024 adalah sebanyak 17,256 kes berbanding 493 kes pada ME 14/2024 antara 31 Mac hingga 6 April 2024 dengan penurunan 97.1 peratus.
Manakala kes kematian Covid 19 susut daripada 32 kes pada ME 1/2024 kepada satu kes pada ME 14/2024, penurunan 95.5 peratus.
“Walaupun kes Covid-19 bertambah baik, virus ini akan terus berada bersama kita dan kita perlu berwaspada menghadapinya.
“Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa memantau situasi terkini Covid-19 di peringkat global dan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini
Dr Muhammad Radzi berkata, pihaknya mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi Covid-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (HAS) dan masih digunakan sehingga kini.
Selain itu, KKM juga ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.
Berhenti rehat seperti singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk mengurangkan stres.- MalaysiaGazette