Perkembangan terkini di Tebing Barat.

AMMAN – Lebih 1.7 juta penduduk di Semenanjung Gaza terpaksa melarikan diri sejak konflik Israel-Hamas meletus Oktober tahun lepas, kata Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

“Sejak bermulanya perang, kemudahan UNRWA telah diubahsuai untuk menyediakan tempat perlindungan kepada ribuan keluarga yang tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya di platform X.

Laporan yang disokong oleh PBB telah memberi amaran mengenai kebuluran yang “dijangka dan akan berlaku” di utara Gaza.

Bilangan penduduk di wilayah Palestin itu yang menghadapi “tahap malapetaka” kebuluran meningkat hampir dua kali ganda sejak Disember lepas.

Sebilangan besar penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel, dan kebanyakan infrastruktur penjagaan kesihatan di wilayah yang dikepung itu telah musnah. – BERNAMA-PETRA