Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat melibatkan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi kenyataan, SKMM memaklumkan pihaknya
tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini,” katanya.

SKMM turut mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, bangsa dan kaum sebaliknya, melaporkan kepada pihaknya di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular di media sosial sepasang suami isteri mendakwa mereka terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah Allah.

Susulan itu, PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung isu tular tersebut.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah diarahkan untuk memanggil pihak berkaitan, hari ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan. – MalaysiaGazette