Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ehsan berjumlah RM172.3 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada minggu lalu.

Kementerian Kewangan (M0F) berkata, Wang Ehsan ini bagi membiayai komitmen emolumen Kerajaan Negeri, di samping bayaran RM103.1 juta untuk obligasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada kontraktornya.

“Sebarang baki Wang Ehsan akan tetap digunakan untuk negeri Terengganu dan Kelantan melalui projek atau program cakna rakyat seperti program basmi kemiskinan dan projek infrastruktur asas demi kesejahteraan rakyat di negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut MoF, Wang Ehsan bukan merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam undang-undang.

Namun demikian, Kerajaan Madani telah menyalurkan Wang Ehsan petroleum sebanyak RM786 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2023. rakyat di negeri tersebut.

“Kerajaan Madani komited memastikan Wang Ehsan dikhususkan untuk manfaat negeri Terengganu dan Kelantan, dengan keutamaan kepada perbelanjaan yang benar-benar membantu rakyat Terengganu dan Kelantan.

“Kerajaan sentiasa terbuka kepada perbincangan serta cadangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan berhubung penggunaan Wang Ehsan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat Terengganu dan Kelantan,” jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.

MoF berkata, Kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri, dibuktikan melalui peningkatan pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan pembangunan untuk semua negeri bagi tahun 2023 dan 2024.

Katanya, pemberian negeri disalurkan kepada semua negeri secara serentak tiap-tiap bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast