KUALA LUMPUR – Dalam kesungguhan kerajaan membina sebuah negara bermaruah, rakyat tidak seharusnya meremeh, menghina dan merosakkan cara hidup orang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerangka pembinaan bangsa itu bukan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dan meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.

“Namun jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain. Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak ini.

“Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya karamah insaniah diperteguh. Semantalahan, negara yang kita warisi ini banyak yang perlu diperbaiki dan memaknai maksud peringkat tertinggi Ramadan.

“Dalam konteks yang sama, ingin saya tegaskan bahawa negara ini memerlukan kekuatan semua pihak. Semua wilayah, semua kaum dan melonjakkannya ke tahap yang terbaik dan bermaruah.

“Kita tidak boleh sisihkan malah memusuhi mana-mana kelompok majoriti atau minoriti mana-mana kaum atau agama atau kepercayaan atas apa alasan sekalipun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung, malam ini.

Anwar juga menyeru umum untuk saling bermaafan dan tidak sombong dalam mengakui kesilapan.

“Ada keterlanjuran, kata kesat dan kemarahan. Ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan terpancar daripada hati nurani.

“Ini juga yang ingin saya sampaikan kepada seluruh umat Islam dan rakan kita, masyarakat Malaysia seluruhnya iaitu memohon maaf seandainya ada keterlanjuran kata, kesilapan bahasa atau menyentuh perasaan rakan dan saudara-mara.

“Kita doa supaya memiliki kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan. Malaysia mesti terus kuat dan makmur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menasihati semua untuk berhati-hati ketika memandu, terutama yang pulang ke kampung halaman.

“Selamat Hari Raya Eid Mubarak kepada seluruh umat Islam dan mereka yang akan melakukan perjalanan ke kampung halaman, pandulah dengan cermat, paculah dengan sifat kasih kepada yang tersayang,” katanya.

Terdahulu, Anwar juga menyeru umat Islam untuk terus mengenang kisah Saidina Umar bin Abdul Aziz dengan anakandanya, Abdul Malik bin Umar.

“Kenanglah kisah Saidina Umar bin Abdul Aziz dengan anakandanya, Abdul Malik bin Umar tatkala beliau ditanya, wahai ayahandaku. Mengapakah tidak engkau laksanakan hukum dengan segera? Demi Allah, aku tidak kisah jika seluruh dunia menentang kita. Demi perkara yang hak.

“Namun Umar Abdul Aziz dengan segala hikmah dan kebijaksanaannya menasihati anakandanya ‘laa tak jal ya bunayya’ (janganlah gopoh wahai anakku). Sesungguhnya Allah mencela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali dan kali ketiga barulah mengharamkannya.

“Sesungguhnya aku bimbang jika aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara total keseluruhannya, nescaya rakyat akan menolak Islam secara keseluruhannya sehingga tercetusnya fitnah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast